Tuhan Tak Melihat Siapa Kita Semalam, Tuhan Melihat Siapa Kita Hari Ini :)

Sunday 25 December 2011

hukum mendengar muzik





Sekarang ni ramai yang sedang gila music...macam2 bentuk irama ada..Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

a) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

b) Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.

c) Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara, percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.

Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula diharuskan. Adakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik tersebut. Inilah yang akan kita bahaskan di dalam risalah yang kecil dan ringkas ini.

PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK

Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Golongan Ulamak Yang Pertama


Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

a) Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

Hiburan itu tiga keadaan:

a) Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

b) Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Berkata al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.

No comments: